20 Oktober 2009

Picnic, Crabbing, & BBQ @ Simaisma...

Hari Jumaat minggu lepas kami sekeluarga pergi berkelah di Pantai. Aku goreng nasi sebagai bekalan kami. Tak lupa juga kambing perap untuk bbq. Memang seronoklah berkelah di tepi pantai, sambil menikmati ayam, kambing, udang, sosej dan ikan bakar.

Suami aku pula, pergi tangkap ketam dengan sorang lagi kenalannya. Dia memang seronok sangat dapat pergi tangkap ketam. Kiranya, ni adalah pengalamannya yang kedua. Memang tak boleh nak gambarkan muka dia time tu. Sungguh teruja, dengan tombak dan jaring di tangan. Banyak jugak dia dapat tangkap ketam.

Mustafa pula, alhamdulillah tak banyak songeh. Nasib baik aku bawa car seat dia. Senang nak tidurkan dia kalau mengantuk. Kalau tak jenuh jugak nak tidurkan dia.

Ada seorang kawan, kenalkan aku dengan makanan arab. Katanya sedap kalau dimakan dengan ayam, kambing, udang, sotong, atau apa saja yang dibakar. Jeruk timun dan buah zaitun hitam. Bila aku try, emmm..yum..yum... memang sedap. Sampai ke hari ni aku masih teringatkan makanan tu. Setakat ni aku belum jumpa lagi kat supermarket kat sini. Masih mencari2. Macam orang mengidam pulak..Ha ha ha...kalau betul pun apa salahnya kan...bertambah lah lagi kaum nabi Muhammad kat muka bumi ni...

Ha, ni ada sedikit gambar yang diambil masa kami berkelah...

Kali Pertama Mustafa pijak kaki atas pasir pantai..











ni, tengah siap-sedia nak gi tangkap ketam..
Sarung tangan mesti pakai, kasut, dan yang paling penting, tombak dan jaring..tak lupa jugak, lampu...kalau tak macam mana nak nampak ketam malam2 buta kan???



Wajah ceria si penangkap ketam bersama hasil tangkapan yang tak terduga...sotong...Ketam diburu sotong pun dapat jugaak...
Inilah antara hasil yang diperolehi...dibakar terus..sedaap..emmmm

19 Oktober 2009

Aku letih, nak Pengsan..

Baru siap hantar posting, mataku berpinar2, perutku rasa bergelora, tanganku terketar2 saat aku menaip ni, aku dah mula rasa seram sejuk. Gejala yang biasa aku alami setiap kali aku berpuasa, tp bukan selalu. Kakiku sudah terasa sejuk. Memang letih yang amat...aku terpaksa berhenti menaip...pengsan........tebabom

Morning Coffee

Pada hari rabu minggu lepas, aku ada buat Coffee Morning untuk PERWAKILAN Doha punya ladies di Villa sewaku yang besar ni. Seminggu sebelum acara berlangsung, aku sudah pening kepala memikirkan menu yang nak dimasak, dan macam mana nak set meja makan.

Akhirnya, aku pilih nasi lemak sambal bilis dan sotong, mihun soto, dan mi kari sebagai menu utama. Sedikit kek dan buah-buahan sebagai pencuci mulut. Bila bercerita pasal makanan, buat aku terliur saja, sebab sekarang aku tengah berpuasa. Puasa ganti.

Berbalik kepada Coffee Morning tadi, seramai sepuluh orang tetamu yang hadir. Selain makan-makan, kami adakan demo Agar-Agar Oren oleh isteri Pegawai di Kedutaan, Puan Mazita. Memang sedaplah agar-agar oren tu, selain cantik. Sekali lagi, kecur liurku mengingatkan agar-agar tersebut. Nafsu orang puasa lah katakan.

Majlis sepatutnya bermula pada pukul 10 pagi, tetapi disebabkan tetamu undangan lewat sampai, jadi kami mula makan lebih kurang pukul 11. Maklumlah, villa kami ni terletak jauh di hujung Qatar, jarang orang malaysia tinggal kat sini. Susah diorang nak jumpa. Apapun kami enjoy dengan makanan yang aku sediakan serta agar-agar oren kak ita yang sedap.

Table Setting

Antara Juadah yang menyelerakan..
Memang sungguh menyelerakan... ada yang siap mintak resepi sambal ikan bilisku... rahsianya, masukkan minyak, panaskan..kemudian masukkan bawang merah, bawang putih, cili kering yang dikisar bersama belacan...didihkan atas api...sambil kacau sekali-sekala. Bila kering tambahkan air...ulang langkah tersebut sampai 3 jam...bila minyak sudah keluar...siap. Mmmm...yum..yum...memang sedap...aku suka my own style...





Demo membuat agar-agar oren oleh kak ita.



Cantik kan??





Inilah hasilnya



Antara tetamu yang hadir bergambar kenang-kenangan di Villaku yang sempoi. Duduk dari kira, host, Ybhg Datin, isteri Duta, Puan amelia. Berdiri dari kiri, Puan Sara, Puan Natipah (P.A Dato' Duta, Puan Roziah, Puan Yang (P.A My Hubby), Puan Cheng Yin, Puan Mazita dan Puan Basariah.

11 Ogos 2009

Suamiku Outstation

Awal-awal pagi semalam, suamiku berangkat ke UAE, tinggallah kami dua beranak bersama seorang pembantu rumah di rumah yang besar ini. Pembantu rumah tinggal di biliknya. Akulah yang terasa sedikit sunyi. Mustafa belum mengerti apa-apa. Yang dia tahu, main saja. Mujurlah ada mustafa, terubat sikit kerinduan.

Hari ni, sudah masuk hari kedua suamiku di sana. Tak sabar rasanya menunggu dia pulang malam nanti. Bukannya tak biasa berjauhan. Awal perkahwinan kami dulu, kami selalu berjauhan. Dia di barat aku di timur semenanjung. Hanya 2 minggu sekali kami bertemu. Hanya apabila berada di Qatar, kami tinggal bersama. Bila dia sudah tamat tugasnya di sini, kami mungkin akan menjalani kehidupan seperti dulu semula.

Teringat pula masa aku kecil-kecil dulu. Bila dengar saja ayah ada ijtimak dan terpaksa tinggalkan rumah untuk dua tiga hari, aku sudah mula rasa susah hati. Kalau boleh tak mau ayah pergi. Begitulah halnya sekarang. Dengan saja yang suamiku nak outstation, aku dah mula susah hati. Bagaimanalah nak habiskan sepanjang hariku sendirian dengan Mustafa. Tak sabar menunggu hari esoknya.

Hari ini sudah tiba. Hanya tinggal beberapa jam saja lagi untuk suamiku berangkat kembali ke Doha. Semoga selamat perjalannya. Selamat Pulang Abang.......Kami manunggu kepulanganmu dengan sabar....

07 Ogos 2009

Qatari...

Sudah hampir dua tahun aku berada di Qatar negara yang kaya dengan minyak, aku baru terasa serasi tinggal di sini. Aku sudah mulai suka dengan kehidupan di sini. Memang aku suka, dan terasa sayang pula untuk meninggalkan Qatar ini. Aku sudah mula terbiasa dengan makanan-makanan arab, 'Taboulah', 'Labneh', 'Syith Kabab', 'Syith Tawuk', 'Homus' dan macam-macam lagi. Memang sedap bagi yang sukakan kelainan.

Orang-orang di sini pun berbeza. Masyarakat luar begitu patuh pada Qatari (warganegara Qatar). Mereka menurut sahaja apa yang disuruh oleh Qatari. Kalau nak tahu, orang-orang Asia seperti Malaysia dan Indonesia mereka anggap seperti hamba. Kalau ke supermarket, mereka layan orang-orang kita, endah tak endah sahaja. Silap hari bulan kita pun di anggap pekerja-pekerja di supermarket tu saja.

Kalau nak tau, kalau kita beli barang-barang di supermarket kat sini, kita kena masukkan sendiri barang-barang yang kita beli tu dalam plastik, tapi kalau Qatari yang beli, berebut-rebut pekerja datang nak masukkan barang-barang tu.. (sekadar perumpamaan). Menunjukkan betapa mereka patuhnya pada Qatari dan juga hormat, atau mungkin takut bos marah. Tapi yang pastinya, Qatari memang ada hak-hak keistimewaan yang tak ada pada kita.

Dari segi berpakaian pula, Qatari akan mengenakan jubah putih dan igal, bagi lelaki. Bagi perempuan pula, abaya hitam, tapi ada juga yang tidak berbuat demikian. Tapi orang yang berpakaian demikian akan diberi penghormatan.

Pernah semasa di Airport, aku dan suami mengangkat beg yang besar dan berat untuk scan, tak dipedulikannya, tapi bila tiba2 datang seorang yang berabaya hitam, dengan cepat2 dia suruh perempuan tu letakkan beg, kemudian disuruhnya pekerja yang ada di situ angkat beg tersebut.

Begitulah serba sedikit menganai kehidupan di Qatar dan orang2nya. Masih ada banyak lagi yang tak diceritakan di sini.

21 April 2009

Hidup Dan Mati

Kalau air lawannya api, sejuk kawannya panas, Adam untuk hawa, pahit dengan manis. Setiap kejadian di alam ini, dijadikan Allah berpasang-pasangan. Begitu juga dengan kehidupan. Di hujung kehidupan itu pastinya ada kematian yang menanti. Hidup di dunia ini hanyalah sementara, akhirat jua yang kekal abadi. Itupun bagi mereka yang benar-benar sedar dan mengetahui.

Kematian itu ibarat satu ujian Fujai' (tiba-tiba). Kita tidak tahu bilakah ujian itu mahu dibuat, tetapi ia dilakukan secara mengejut. Kalau kita sentiasa bersedia, selamatlah kita. Bagaimana kalau sebaliknya?

Kita sentiasa mengharapkan agar kita dapat hidup lama di dunia ini. Kita juga merasakan yang umur kita masih panjang, sedangkan kita tidak tahu hakikat yang sebenar Adakah kita tahu bila nyawa kita akan dipisahkan daripada badan kita? Sebenarnya, kita tidak tahu bilakah kita akan meninggalkan dunia ini. Mungkin dua tahun lagi, atau tahun depan, bulan depan?Minggu depan? Esok? atau sesaat lagi??
Oleh itu ambillah kesempatan daripada kehidupan yang sementara ini dengan melakukan sebanyak yang mungkin amal kebajikan. Tujuan manusia dan jin dijadikan, adalah untuk beribadah kepada Allah. Semua ini hanyalah untuk kebaikan manusia itu sendiri.

Semua manusia sukakan keseronokan, kegembiran, dan kebahagiaan. Islam tidak melarang penganutnya untuk berseronok dan bergembira, tetapi biarlah ada had dan batasannya. Berseronok dengan mengikut lunas-lunas Islam. Menjadikan agama sebagai panduan. Yang mana dilarang agama ditinggalkan.

Masih ada banyak cara untuk kita hidup dengan gembira di dunia ini. Jadilah kita seorang yang taat pada segala suruhan agama. Kerana hidup yang berlandaskan agama akan menjamin kebahagiaan kegembiraan dan keseronokan. Walaupun ianya sedikit sukar, tetapi hasilnya memuaskan.
Cubalah!


04 Mac 2009

Dari Doha ke Ampang Menuju ke Tumpat

Balik kampung...ooo balik kampung....ooo balik kampung, hati riang...

ooo balik kampung...ooo balik kampung...ooo balik kampung...hati girang...



Alhamdulillah, setelah setahun lebih menunggu, tibalah masanya untuk saya sekeluarga balik ke kampung halaman. Dapatlah melepaskan rindu pada ibu, ayah, mak dan ayah mertua adik-beradik, ipar duai dan juga sanak saudara tak lupa juga masakan Melayu Malaysia yang enak lagi lazat. Kalau dulu, masa mengandungkan Mus macam-macam yang saya teringin makan bila balik Malaysia nanti, tapi sekarang selepas Mus dilahirkan semuanya saya lupa.

Mus sekarang sudah berusia 6 bulan 2 minggu, gigi sudah mula tumbuh, dah tahu meniarap, berpusing-pusing dan berguling-guling. Orang-orang di Malaysia sudah tidak sabar untuk melihat kami sekeluarga pulang.

Kami dijangka berlepas pada pukul 1 pagi waktu Doha dan dijangka sampai pada pukul 2 petang waktu Malaysia. Mudah-mudahan perjalanan kami berjalan lancar dan selamat sampai ke destinasi. In sya Allah.

02 Februari 2009

Ayah Dan Ibu

Ayah dan ibu,
Itulah permulaan kami ,
Dapat melihat bulan dan matahari,
Yang dikurniakan dari ilahi,
Ayah dan ibu,
Ayah dan ibulah mesti dihormati.
Ayah dan ibu,
Wali-wali keramat,
Pada mereka kita beri hormat,
Pakailah tunjuk ajar dan nasihat,
Supaya hidup kita akan selamat.

(Allahyarham Sudirman Hj. Arshad)


Kasihnya Ibu membawa ke syurga, kasihnya bapa, berkorban nyawa, kasihnya saudara masa berada.
Chek dan Ayah, itulah wajah-wajah yang sangat aku rindui, yang selalu terbayang diruangan mata, selalu terlintas di benak fikiran. Chek dan Ayah yang amat kukasihi. Yang terlalu banyak berkorban untuk seorang anak sepertiku. Tanpa Chek dan Ayah siapalah aku.Tak sabar rasanya untuk aku bertemu Chek dan Ayah, memeluk dan mencium mereka. Sudah lama rasanya aku tidak mencium tangan Chek dan Ayah.
Menatap potret mereka, cukup untuk membuatku menitiskan air mata. Memikirkan dosa-dosaku kepada mereka. Adakah mereka telah mengampunkan dosaku?Adakah mereka telah melupakan segala kesalahanku terhadap mereka.
Janganlah hendaknya kita menderhaka kepada kedua ibu bapa. Hormatilah mereka, kasihilah mereka. Berbuat baiklah kepada mereka selagi kita berpeluang untuk melakukannya. Kerana bila tiba suatu masa kita sudah tidak dapat melakukannya, menyesal pun sudah tiada gunanya. Walau mengalir air mata darah sekalipun, tidak akan dapat mengembalikan kita kepada masa yang telah pun berlalu.
Ya Allah ya Tuhanku, ampunilah dosaku dan dosa kedua Ibu dan Bapaku, kasihilah mereka sebagaimana mereka telah mendidikku semasa kecilku.

Doa Untuk Orang Tua

Ya Allah,
Rendahkanlah suaraku bagi mereka,
Perindahkanlah suaraku di depan mereka,
Lunakkanlah watakku terhadap mereka,
Dan Lembutkanlah hatiku untuk mereka.

Ya Allah,
Berilah mereka balasan yang sebaik-baiknya,
Atas didikan mereka padaku,
Dan Pahala yang besar,
Atas kasih sayang yang mereka limpahkan padaku,
Peliharalah mereka,
Sebagaimana mereka memeliharaku.

Ya Allah,
Apa saja gangguan yang telah mereka rasakan,
Atau kesusahan yang mereka derita kerana aku,
Atau hilangnya sesuatu hak mereka karena perbuatanku,
Jadikanlah itu semua,
Penyebab gugurnya dosa-dosa mereka,
Meningginya kedudukan mereka,
Dan Bertambahnya pahala kebaikan mereka,
Dengan perkenan-Mu, ya Allah
Kerana hanya Engkaulah,
Yang berhak membalas kejahatan dengan kebaikan berlipat ganda.

Ya Allah,
Bila maghfirah-Mu telah mencapai mereka sebelumku,
Izinkanlah mereka memberi syafa'at untukku,
Tetapi jika megfirah-Mu lebih dahulu mencapai diriku,
Maka izinkanlah aku memberi syafa'at untuk mereka,
Sehingga kami semua berkumpul,
Bersama dengan santunan-Mu,
Di tempat kediaman yang dinaungi kemuliaan-Mu,
Ampunan-Mu serta rahmat-Mu,
Sesungguhnya EngkaulahYang memiliki,
Kurnia Maha Agung,
Serta anugerah yang tak berakhir,
Dan Engkaulah yang Maha Pengasih Diantara semua Pengasih.

29 Januari 2009

Ceria-ceriakanlah Dirimu

Salam ceria pembaca budiman. Ceria-ceriakanlah hari anda. Mungkin ada di kalangan kita yang bersedih kerana baru putus cinta, ditinggalkan kekasih atau baru kematian kucing tersayang. Atas apa alasan sekalipun yang membuat kita berasa sedih, ingatlah bahawa ada lagi insan yang lebih malang daripada kita.

Cuba kita pandang ke Gaza. Bagaimana rakyat Palestin menghadapi kehidupan mereka. Peluru-peluru dengan rakusnya berterbangan di udara mencari mangsa, terdengar bunyi letupan di sana-sini. Ibu kehilangan anak, suami kehilangan isteri, adik kehilangan abang, dan anak kehilangan ayah. Adakah kita merasakan bahawa kita lagi malang dari mereka?

Kita ceria bukan bermakna kita bergembira di atas kedukaan dan kesengsaraan orang lain, tapi kita ceria kerana menyembunyikan kedukaan di hati kita. Kita tunjukkan kepada dunia bahawa kitalah orang yang paling bahagia di dunia ini. Walaupun kita merasakan bahawa betapa beratnya ujian yang ditimpakan kepada kita, cubalah untuk sentiasa ceria walaupun ianya terlalu sukar untuk dilakukan.

Ceria ceria ceria, amat mudah untuk mengatakannya, namun adakah mudah juga untuk melakukannya. Yang penting jangan mudah putus asa. Cubalah selagi terdaya. Tidak rugi untuk mencuba, tapi menjadi rugi kalau langsung tidak mencuba.

Jumpa lagi!