21 April 2009

Hidup Dan Mati

Kalau air lawannya api, sejuk kawannya panas, Adam untuk hawa, pahit dengan manis. Setiap kejadian di alam ini, dijadikan Allah berpasang-pasangan. Begitu juga dengan kehidupan. Di hujung kehidupan itu pastinya ada kematian yang menanti. Hidup di dunia ini hanyalah sementara, akhirat jua yang kekal abadi. Itupun bagi mereka yang benar-benar sedar dan mengetahui.

Kematian itu ibarat satu ujian Fujai' (tiba-tiba). Kita tidak tahu bilakah ujian itu mahu dibuat, tetapi ia dilakukan secara mengejut. Kalau kita sentiasa bersedia, selamatlah kita. Bagaimana kalau sebaliknya?

Kita sentiasa mengharapkan agar kita dapat hidup lama di dunia ini. Kita juga merasakan yang umur kita masih panjang, sedangkan kita tidak tahu hakikat yang sebenar Adakah kita tahu bila nyawa kita akan dipisahkan daripada badan kita? Sebenarnya, kita tidak tahu bilakah kita akan meninggalkan dunia ini. Mungkin dua tahun lagi, atau tahun depan, bulan depan?Minggu depan? Esok? atau sesaat lagi??
Oleh itu ambillah kesempatan daripada kehidupan yang sementara ini dengan melakukan sebanyak yang mungkin amal kebajikan. Tujuan manusia dan jin dijadikan, adalah untuk beribadah kepada Allah. Semua ini hanyalah untuk kebaikan manusia itu sendiri.

Semua manusia sukakan keseronokan, kegembiran, dan kebahagiaan. Islam tidak melarang penganutnya untuk berseronok dan bergembira, tetapi biarlah ada had dan batasannya. Berseronok dengan mengikut lunas-lunas Islam. Menjadikan agama sebagai panduan. Yang mana dilarang agama ditinggalkan.

Masih ada banyak cara untuk kita hidup dengan gembira di dunia ini. Jadilah kita seorang yang taat pada segala suruhan agama. Kerana hidup yang berlandaskan agama akan menjamin kebahagiaan kegembiraan dan keseronokan. Walaupun ianya sedikit sukar, tetapi hasilnya memuaskan.
Cubalah!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan