02 November 2010

BuAh HaTi PeNgArAng JaNtuNg

Semua orang adalah penting dalam hidupku. Cik aku, ayah aku, mak mertua, ayah mertua, abang-abang aku, adik-adik aku, kakak aku, anak-anak saudara aku, ipar duai. Kalau nak kira kat sini memang tak terkira la banyaknya. Tanpa mereka, siapalah aku. Aku bersykur kerana dikurniakan sebuah keluarga yang aman dan bahagia, walaupun kami tidak berharta.

Antara yang terpenting dalam hidupku, ni ha tiga orang ini..hehe.. ayah (of course la my laling- anak-anak kena panggil ayah), abang (Mustafa), dan adik (Zahraa)...buat masa sekarang la. Ada rezeki, mungkin akan bertambah lagi di masa akan datang. Bila? Hanya Allah yang maha mengetahui.


Sekarang ni aku excited nak cerita pasal si Zahraa, maklumlah bayi sedang membesar. Pada usia nak masuk dua bulan, dia dah pandai bagi respon kat kita. Kalau kita agah dia sikit-sikit, dia mulalah sengih-sengih, dan aku rasa dia dah mula mengecam aku, umminya yang setiap masa bersama dengannya bila dia memerlukan.

Kalau aku letakkan dia di ribaku, mulalah dia nganga-nganga nak menyusu siap buat-buat batuk lagi. Pada usia tiga bulan dia dah mula pandai gelak-gelak. Tapi sikit-sikit jelah, belum betul-betul gelak lagi. Bila digeletek baru dia gelak, itupun bukan selalu. Tengok mood dia.

Semalam, tanggal 1 November 2010, dia dah dapat meniarap. Dua tiga hari sebelum ni dia dah menunjukkan tanda-tandanya. Dua hari sebelum tu, dia ada termeniarap, dua tiga kali jugaklah. Keesokan harinya, dia lupa balik.hehe, dan semalam, barulah dia betul-betul boleh meniarap. Dan aku, mestilah suka sangat-sangat bila anak aku dah boleh meniarap. Tak sabar rasanya nak tunggu dia berjalan.



Abang Mustafa pulak dan pandai bercakap. Banyak pulak tu dia cakap. Kadang-kadang tak larat nak melayan. Tapi yang kelakarnya, dia cakap terbalik. Kalau kita cakap "Jom, kita pergi hantar ayah". Dia akan cakap "Jom, anta gi ayah" dan macam2 lagilah.

Alhamdulillah, dia pun dah makin cerdik dan pandai, serta faham. Kalau kita larang, dia dah boleh dengar. Yang penting, sebagai ibu, memang kena banyak bersabar dalam melayani, anak-anak kecil sepertinya. Dia juga perlukan perhatian, dan kasih-sayang, juga hiburan.


Inilah buah hati pengarang jantungku, dia sakit, aku pun turut merasa sakitnya. Kalau boleh tak mahu melihat mereka bersedih. Semoga mereka sentiasa dilindungi Allah selalu, sihat dan sejahtera. Aku sayang kalian.




19 Oktober 2010

Segala Puji Hanya Bagi Allah

Tak terucap rasanya kesyukuranku bila dapat berita yang orang penting tersebut telah menangguhkan kunjungannya ke Qatar. Tapi aku tak boleh menarik nafas lega lagi sebabnya, selagi dia tak datang ke sini selagi itulah kerja tak selesai, dan lambat laun masa itu akan tiba juga. Leganya hanya untuk seketika saja.

Tapi aku harap, bila sampai masanya orang penting tersebut nak datang, suamiku dah pun dipanggil balik untuk bertugas di Malaysia. Itu hanyalah harapanku saja. Belum tentu jadi kenyataan.

Selesailah masalah aku untuk seketika. Serabut kepalaku pun hilang untuk sementara. tapi aku harap dia tangguh lagi kunjungannya sampai tahun depan di mana tempat suamiku dah digantikan dengan orang lain. Adakah tidak mustahil akan berlaku. Aamiin ya Allah. Kabulkann doaku yang hina ini.

03 Oktober 2010

Serabut Kepala

Sekarang ni, kepala dok pening memikirkan macam-macam hal. Semalam dapat berita orang penting nak datang Qatar. Suami isteri dan hulubalang-hulubalangnya. Biasalah, kalau isterinya ikut sama, maka aku pun ikut sama sibuk macam suami.

Yang aku risau sekarang ni, dua orang anak kecilku. Si abang sangatlah aktif. Si adik pula, menyusu badan. Bukannya dia tak minum susu tepung, tapi sebolehnya, aku tak nak bagi sangat bayiku minum susu tepung.

Lagi satu risau nak tinggalkan kedua-duanya dengan pembantu rumahku. Bukan dia tak tahu menjaga anak kecil. Tapi aku takut dia yang stress. Nak memenuhi kehendak si abang dan dalam masa yang sama nak memenuhi keperluan si adik. Aku takut nanti bila dia dah stress, dia lepaskan geramnya dekat si abang. Aku tak sanggup melihat anakku dimarahi oleh orang lain, walaupun aku sendiri selalu jugak marah-marah pada dia.

Entah macam mana, aku pun tak tahu nak fikir. Semoga Allah beri aku petunjuk dan jalan yang terbaik untuk selesaikan keserabutan yang membelenggu aku.

24 September 2010

Rumahku Di Qatar

Hari ni, aku nak bercerita mengenai rumahku di Qatar. Hmmm, rumah sewa je. Hehe. Dah hampir tiga tahun aku tinggal di Qatar. Masa untuk aku meninggalkan bumi Qatar yang gersang semakin hampir.
Rumah di Qatar, besar-besar dan cantik-cantik. Maklumlah, orang-orang Qatar kaya-raya, hidup senang, makan mewah. Segalanya ditanggung dan dibela oleh kerajaan. Aku juga menyewa di sebuah villa yang besar. Sangat besar, tak padan dengan kami yang tinggal empat beranak sahaja dan seorang pembantu rumah.
Sewa rumah di sini sangatlah mahal. Sebulan pun dah cecah beribu-ribu lemon. Kalau setahun, atau bertahun-tahun, fikirlah sendiri. Memang tak mampu nak menanggungnya. Tapi, alhamdlillah, datangnya kami ke sini, kerana tugas. Tak terasa begitu terbeban dengan sewa rumah yang mahal.
Bila berada di Qatar ni, terasa seperti orang kaya, walaupun pada hakikatnya tidaklah begitu. Tinggal di rumah besar, pakai kereta besar, upah orang gaji. Kalau di Malaysia, tinggal dengan orang tua. Rumah pun baru siap, belum lagi dapat diduduki. Sendiri jadi orang gaji. Kereta pun kancil saja. Syukur Alhamdulillah, semua ni rezeki daripada Allah.
Rumah yang aku duduki ini, ada empat bilik, lima bilik air, dua ruang tamu, satu khusus untuk lelaki dan satu lagi untuk perempuan. Dua dapur di luar dan di dalam dan bilik untuk pembantu rumah. Rumah ni boleh muat lebih kurang 50 orang dalam satu masa. Segala perabot-perabot yang ada di rumah disediakan oleh tuan rumah.
Rumah di sini temboknya tinggi-tinggi. Jiran sebelah pun tak kenal, nak panjat pun susah, apatah lagi nak intai-intai, memang takde peluang langsung. Aku di sini tak ada pun kawan di kalangan orang-orang Qatar. Mereka tak suka bergaul dengan orang luar agaknya, tapi tuan rumahku ni, kira oklah jugak. Nak jugak berkawan dengan suamiku. Bila kami mengundang ke rumah, mereka tak menolak.
Yang penting kami gembira dan bahagia tinggal di sini. Kampung halaman tetap tak kami lupakan. Tempat jatuh lagikan dikenang inikan pula tempat kelahiran.
Inilah sedikit gambar bahagian dalam rumah kami di Qatar.

Yang ini adalah ruang tamu kedua. Biasanya, perempuan yang duduk di sini bila kami buat sedikit majlis makan-makan.
Yang ini pula 'Wash Room'dan sebelahnya tu, bilik air. Bolehlah nak bersolek , nak telek cermin, atau nak cuci-cuci tangan saja.

Yang ni pun ruang tamu yang kedua juga dari sudut yang lain.

23 September 2010

Nour El Zahraa

Lama betul tak menjenguk blog. Dah bersawang jadinya. Takde idea nak menulis. Hari ini, datang kerajinan nak mencoret-coret di blog usangku ini. Alhamdulillah dalam diam, aku dah selamat melahirkan seorang bayi perempuan yang comel tanggal 16 Julai yang lalu seberat 3.05 kg. Bayiku diberi nama Nour El Zahraa.

Bayiku sekarang dah dua bulan lebih. Dah habis berpantang. Sekali lagi aku berpantang dibulan Ramadhan selepas anak pertamaku dulu. Cabaran bagi diriku. Semuanya ada hikmah tersembunyi. Aku hanya sempat berpuasa seminggu sahaja. Oklah tu daripada tak sempat berpuasa langsung.

Memandangkan di sini aku tidak bekerja, maka aku memilih untuk menyusu badan sepenuhnya anak-anakku. Anak sulungku Mustafa sempat menyusu selama setahun empat bulan sahaja. Selepas dapat berita yang aku hamil anak kedua, aku terpaksa menghentikan penyusuan badan Mustafa. Kesian dia, belum puas menyusu dengan ibunya.

Untuk Zahraa, aku akan pastikan dia menyusu badan sepenuhnya hingga umurnya mencapai dua tahun. In sya Allah. Zahraa, seperti juga Mustafa. Badannya cepat naik. Sekarang beratnya sudah hampir 6 kg. Hampir sama dengan berat bayi yang umurnya 4 bulan.

Tapi sekali-sekala aku terpaksa campur dengan susu tepung. Bila aku terpaksa keluar rumah untuk tempoh lebih dari 3 jam. Biasanya bila nak beli keperluan dapur, aku akan tinggalkan Zahraa di rumah dengan pembantuku. Yang pastinya, abang Mustafa haruslah dibawa bersama. Kalau tak, pening kepala pambantu rumahku nak melayan karenah Mustafa, dalam masa yang sama nak uruskan Zahraa.




Inilah Zahraa di hari pertama kelahirannya.. Comel kan?hehe